Pages

Wednesday, January 26, 2011

Dunia Linguistik Melayu

Assalamualaikum wahai para cendekiawan yang bijaksana.

Pada kali pertama bicara ini, saya ingin mengutarakan tulisan saya tentang teori linguistik yang

sering digunakan dalam sesuatu penyelidikan bahasa Melayu. Mungkin pengisian ini agak

dangkal atau mungkin juga tidak menepati piawaian disiplin bahasa yang telah diperaku

standard selama ini. Namun atas keinginan untuk bersembang, saya pilih tajuk ini sebagai

pemanas badan.

Teori Linguistik

Teori merupakan pendapat atau pandangan yang dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara. Teori juga ialah prinsip-prinsip atau dasar-dasar bagi pembentukan sesuatu ilmu. Ini bermaksud apabila seseorang itu berteori, maka dia sebenarnya mengemukakan teori atau prinsip-prinsip sesuatu ilmu. Semua disiplin ilmu mempunyai teori masing-masing sama ada bidang sejarah, ekonomi, sains, falsafah, kemanusiaan dan sebagainya. Justeru, linguistik merupakan suatu bidang ilmu yang bersifat saintifik, maka sudah tentulah linguistik mempunyai teori-teorinya untuk dijadikan prinsip dan dasar bagi menganalisa dan menghuraikan data bahasa. Teori linguistik dikatakan bersifat saintifik kerana teori linguistik seperti teori-teori dalam bidang yang lain berupaya membuat ramalan yang dapat diuji secara emperis.

Linguistik mementingkan pembentukan satu sistem konsep abstrak yang dapat menghuraikan sifat-sifat bahasa yang tergambar secara sempurna dan menyeluruh. Perkembangan teori linguistik pada amnya telah melalui pola yang tertentu iaitu a) Membina satu sistem( teori ) yang abstrak untuk menjelaskan satu bahagian tertentu struktur bahasa, b) Mengkaji akibat daripada pembinaan sistem tersebut, c) Menolak sistem tersebut jika sistem itu meramalkan fakta tertentu yang tidak dapat diperoleh, dan d) Menggantikan sistem itu dengan sistem pengganti yang sesuai dengan faktanya ( Kempson dalam Ahmad Mahmood Musanif , 2004 : 57 ).

Kita perlu ada sistem untuk menyusun data kerana sains memperkatakan perkembangan sistem untuk pengendalian data dengan penubuhan teori. Satu sistem yang mudah dapat mengklasifikasikan pemerhatian mengikut cara-cara yang betul. Contohnya dalam pekerjaan menghasilkan sebuah buku daftar istilah. Dalam hal ini perlu diingat bahawa buku daftar istilah yang tebal dan besar lebih merupakan penyusunan data yang canggih berbanding dengan buku daftar istilah yang nipis dan ringkas. Hal ini menjadi suatu kemujaradan dari segi kemampuan merujuk unit-unit dan proses yang telah diidealisasikan itu.

Sistem yang dimaksudkan sewajarnya boleh memberitahu kita bahawa idealisasi-idealisasi itu dapat dijelmakan dengan berbagai-bagai cara. Kita mengambil sistem keselamatan kenderaan merupakan abstraks yang dapat menunjukkan turun naiknya kadar kemalangan jalan raya. Sistem ini dilihat berperanan dalam tiga skop yang berkaitan antara satu sama lain. Pertama, sistem ini harus dapat menghubungkan fenomena kejadian kemalangan jalan raya yang berlaku dengan jelas dalam suatu rangka kerja teoretis yang tunggal. Kedua, sistem dapat menyediakan terminologi untuk membuat pemerhatian tentang fenomena tersebut, dan akhirnya, sistem dapat pula menggerakkan penyelidikan-penyelidikan yang menarik terhadap fenomena itu. Suatu sistem mesti menjalankan tugas-tugas tersebut sekiranya penyelidikan hendak mencapai nilai saintifik. Kegunaan sistem itu pula mestilah dinilai dari segi kebagusannya penyelidik itu dapat melaksanakan ketiga-tiga langkah berkenaan.

Teori linguistik adalah seperangkat hipotesis yang digunakan untuk menerangkan data bahasa sama ada bersifat lahiriah seperti bunyi bahasa ataupun yang bersifat batiniah seperti makna ( Harimurthi dalam Ahmad Mahmood Musanif, 2004 : 58 ). Teori linguistik merupakan cabang linguistik yang menumpukan perhatian pada teori umum dan kaedah-kaedah umum dalam penyelidikan bahasa sama ada dalam bidang linguistik huraian, linguistik bandingan, linguistik sejarawi, sosiolinguistik, psikolinguistik dan sebagainya. Maka, timbullah berbagai-bagai teori yang digunakan dalam pelbagai bidang linguistik iaitu teori kasus, teori gelombang, teori pohon, teori behavioris, teori struktural, teori struktur sintaksis, teori standard, teori standard tambahan, teori semantik generatif, teori tranformasi generatif, teori semantik, teori tagmemik, teori analisis wacana, teori lakuan pertuturan dan sebagainya.

JOM BERBUAL DAN BERBICARA

SELANGOR DARUL EHSAN